Supernatural

Menyambung : Istilah Terbuka Saluran Kepada Rahsia Pemikiran Serta Perasaan

Allah itu Maha Mengetahui segala-galanya. Di dalam ayat ada mengatakan ‘mintalah kepadaKu nescaya Aku kabulkan’. Namun seseorang itu harus meletakkan dirinya sebagai hamba kerana hamba sahajalah yang akan menyembah. Maka bila hamba itu menyembah, barulah ada Raja segala raja iaitu Allah yang akan mengabulkan segala permintaan. Harus sembah dahulu maka baru terdirinya solat. Keterangan di dalam al Quran ada menyebut berbunyi sembahlah Aku dan dirikanlah solat. Mestilah sembah itu datang dari hamba yang mempunyai Tuhan yang layak disembah. Namun hamba itu diwujudkan bagaimana?

Islam itu antara maknanya adalah berserah, patuh, damai dan sejahtera. Setiap hamba itu harus menuju semua keterangan yang disebutkan tadi dan seumpamanya. Agar nanti dapat menyerahkan sepenuh diri zahir batinnya kepada Tuhan, agar dapat patuhi apa yang diperintah (mengikut peraturanNya atau sunatullah), agar dapat menuju damai di hati dan otaknya iaitu damai di iman dan akalnya, agar sejahtera zahir dan batinnya yang diserlahkan oleh 5 pancaindera kepada dunia dan akhirat. Apakah beza carakerja atau fungsi hati dan otak itu? Apakah anda sudah tenang seperti dimaksudkan?

Padi Masak

Iblis itu ingkar dengan perintah Allah. Kerana kesombongan, kerana keangkuhan, kerana merasa sudah menguasai ilmu...inilah salah satu kelebihan iblis. Mustahil terma hamba itu wujud sekiranya seseorang itu menjejaki langkah iblis iaitu terbit darinya sifat seperti angkuh, sombong, ujub, takabur dan sebagainya. Apatah lagi orang yang berniat memperlekehkan, menguji, merendahkan, mempunyai niat tersembunyi dan lainnya merujuk sifat tercela. Sekiranya itu berlaku maka sudah pasti walau tersurat mahupun tersirat Allah akan tetap mengetahui. Makanya jadi sia-sia masa, tenaga dan apapun.

Suasana yang memberangsangkan itu harus diwujudkan. Harus bersabar dengan membawa perjalanan diri dengan penuh keikhlasan dalam mendapatkan kebenaran.  Manusia itu tidak akan tahu melainkan Tuhan yang Maha Mengetahui memberitahukannya. Ada ayat mengisahkan tentang Allah menempelak orang yang menanyakan kenapa Allah tidak berbicara dengannya dan tidak diperlihatkan tanda-tanda kebesaranNya pada alam semesta dan dirinya.

Kita dan golongan jin diciptakan semata-mata untuk menyembah Tuhan. Kita tahu penganut Islam itu semuanya dinama muslim. Tapi siapa itu golongan musyrik di dalam al Quran? Orang yang mensyirikkan Tuhan. Allah itu Ahad. Allah itu Esa. Jika dalam solat ada Allah dan ada selain dari Allah, maka itu bagaimana kita jelaskan? Kenapa ramai solat tapi peribadinya tidak berubah? Bahkan banyak sekali merugikan, menyusahkan dan menyakiti orang lain. Banyak sekali jalan yang dilaluinya tanpa diteliti akal dan iman, menjurus ke arah yang tidak bermanfaat. Kenapa ada golongan munafik yang paling azab siksa di jahanam? Beberapanya adalah…bila bercakap nyatanya berbohong…bila berjanji hakikatnya mungkir…diberi amanah tetapi tidak ditunaikan… Kenapa pula hanya mukmin yang selamat?

Ihsan di dalam agama itu adalah sejauh mana dekatnya kita dengan Allah. Sejauh mana kita dapat mengenalNya. Sejauh mana kita bersama-sama Allah. Sehinggalah…(bagi mengetahui selanjutnya silalah datang belajar ke Akademi Rahsia Agung) dan mungkin itulah yang diistilahkan dengan ‘menyambung’, di olah dengan ayat semampunya sebolehnya sebaiknya walau kami hanya tahu yang sedikit, sekelumit dari lautan ilmuNya.

Ya Tuhanku, sayangilah aku, peliharalah aku agar dapat aku perluaskan silaturrahimku dengan seluruh umat manusia.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen anda. Kami pasti akan menjawab tidak lama lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...