Stress

Siapa Yang Menentukan Tahap Keilmuan Seseorang?
  
Alhamdulillah kini diperlihatkan kembali...setelah diperhatikan berkali-kali...bagi tujuan inspirasi kreativiti...

1. Mudah sahaja jika jawapan ringkasnya hanya Allah sahaja yang Maha Segala-galanya. Soalnya Allah itu…Apa Dia? Siapa Dia? Dia di mana? Apa Dia buat? Bila Dia buat? Bagaimana Dia buat? Jawab dahulu pertanyaan Allah seringkasnya di dalam al Quran yang berbunyi Afala Ta’qilun (Apakah Kamu Tidak Berfikir, Tidak Berakal ?) dan Afala Tu’minun (Apakah Kamu Tidak Percaya, Tidak Beriman?) itu jika kita hendak bertanya sesuatu. Periksa dahulu diri kita, apakah kita bertanya dengan an Nafs, apakah kita bertanya di dalam lautan emosi, apakah kita bertanya semata-mata kerana keduniaan. Tujulah kampung akhirat itu kerana dunia pasti akan datang menyembah dalam kehinaan. Kerana setiap soalan itu pasti ada jawapan dariNya. Cuma jika masih an Nafs maka pasti keterangan tidak sama dengan keterangan dari ar Ruh. Sedikit persoalan jiwa dan ruh ini ada dibicarakan dalam peringkat Ilmu Tazakur Agung dan diperincikan di Ilmu Tafakur Agung…apakah mungkin tahap Grand Master?

2. Di dalam dunia ini secara amnya dan di nusantara ini secara khususnya, ada beberapa perguruan telah menetapkan ilmu itu bertaraf asas, ilmu itu bertaraf guru, ilmu itu bertaraf Master bahkan ilmu itu bertaraf Grand Master. Kerana murid suka melihat status ilmu, suka dengan pangkat, suka dengan gelaran. Sayang sekali bukan difokus kepada penyerlahan, penghayatan, pembuktian yang telah ada. Status ilmu dan pembuktian itu juga berpasangan. Namun jika bersalahan juga tidak bertepatan, maka itulah yang senget, tidak seimbangnya. Masakan luarannya Mercedes namun penjana didalamnya Proton. Sepatutnya Mercedes itu enjin, gear box dan segalanya Mercedes juga. Melihat satu sisi lain pula Proton di luar namun wah…Mercedes di dalamnya. Itu namanya bukan menyembunyikan, namun ibarat padi masak yang makin berisi makin tunduk. Dan juga ada yang menggunakan di antara keduanya. Bagi guru (hamba Tuhan) di sini, apa sahaja tidak kisah, asal sahaja tidak menyusahkan, tidak menyakiti orang lain dan memberi manfaat untuk semua.

3. Olahan lafaz al Fatihah yang diguna Rasulullah tetap sama sahaja seperti apa yang kita gunakan sekarang. Lafaz itu menjadi kalamullah juga asal sahaja menyerbitkan Kebenaran, Hakikat, yang Haq itu juga terbit walau dari mulut yang tidak berbahasa Arab. Baca al Fatihah jika beserta dengan akal dan iman, maka disitulah kualiti yang digarapkan Rasulullah sejak dahulu hingga bila-bilapun kerana al Quran itu harusnya sepanjang zaman, contemporary. Namun lafaz itu menjadi sia-sia walau dituturkan dalam bahasa ayat tetapi hanya zahir sahaja. Itu sahaja telah menafikan diri ini yang ada zahir dan batin. Ada jasmani dan rohani. Kerana itu tidak boleh dibezakan dengan kuantiti ayat yang dibaca. Biar sedikit namun berkualiti. Kerana kualiti itu sifat ar Ruh. Tapi jika ada kuantiti dan kualiti apa salahnya. Mungkin mencontohi golongan salafus soleh, yang juga menuruti pendekatan Rasulullah. Bukankah beliau suri teladan yang terbaik?

4. Maka bila dirumus hal di atas, bagaimana kita meletakkan tahap diri kita sekarang, disamping menuntut ilmu? Jika bertanya guru di akademi ini maka jawabnya beliau sendiri tidak akan tahu kerana pengetahuan beliau amat terbatas. Namun jika Tanya Allah, Tuhan kepada guru ini, maka pasti dapat tahu apa sahaja kerana Allah itu Maha Mengetahui segala-galanya. Benar, jawab dahulu dua pertanyaan Allah di atas tadi. Bukan hanya dengan lisan yang menuturkan mengikut rasa hati sahaja. Namun sertakan juga dengan akal yang berilmu. Kerana tidak beragama orang yang tidak berakal. Harusnya kita sering selidiki, halusi diri kita apakah Allah itu jauh atau dekat dengan kita. Jika dengan mudah sahaja kita menjawab Allah itu dekat walau hakikatnya kita jauh maka itu telah jadi suatu pembohongan. Bila kata-kata di luar lain sedangkan di dalam hati dan akal lain, maka terbukti kita mengikuti salah satu sifat munafik. Disebut didalam nas, golongan munafik ini dibakar di dalam api neraka di level terbawah sekali, lebih berat siksaannya dari golongan kafir yang terdiri dari manusia dan jin, juga batu.

5. Level itu sebenarnya Allah sahaja yang beri. Namun kita di sini cuba menjelaskan bentuk simbol dan yang nyata sepertimana termaktub di dalam suhuf, kitab yang diwahyukan kepada Nabi dan RasulNya. Walaupun di akademi ini juga, ada keilmuan yang dinyatakan apa tarafnya, namun harus diperhatikan maksud-maksud yang diutarakan di atas. Pasti diruangan blog bertulis ini tidak sama penjelasan Ilmu Rahsia Agung dan lain-lain ilmu tanpa terlebih dahulu berdepan atau talaqqi dengan guru yang mengajarkan. kami hanyalah mungkin mengetahui yang sedikit namun ingin berjalan meluruskan...

6. Benar sekali kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.



Nasihat Dan Peringatan Dari Kami Di Akademi Rahsia Agung

Agama itu juga adalah nasihat. Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudara-saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Kami di sini mungkin digelar guru/perawat/tukang urut namun kami juga hamba Tuhan. Namun para murid dan pesakit hendaklah mengikuti, mematuhi segala saranan oleh guru/perawat/tukang urut yang berkaitan segala perkara mengenai keilmuan, solusi kepada penyakit atau masalah yang dihadapi, asal sahaja tidak melanggar landas-landas agama yang meliputi hal iman dan akal itu. Orang yang menolak bulat-bulat atau menerima bulat-bulat susah berkembang, akan jadi stagnant, pasif, jumud dan fanatik. Manakala orang yang meramukan antara kedua percaya dan fikir itu pasti berkembang hingga sempurna.

Para murid dan pesakit hendaklah membuat persiapan diri sebelum, semasa dan selepas menjalani keilmuan, rawatan alternatif, urut batin dan benteng diri dengan betul-betul mengharap dengan ikhlas, sabar dan redha kepada Tuhan yang Maha Kuasa. Mungkin salah satu jalan ikhtiarnya, penyampaiannya adalah melalui kami di Akademi Rahsia Agung ini. Kami juga adalah hamba Tuhan yang mahu menyerlahkan kualiti ar Ruh, rohaniah, modal insan, jati diri di dalam diri, yang amat berhubung rapat dengan Tuhan itu. Tuhan itu kan Maha Penyembuh. Malah secara faktanya, kita juga sama-sama hamba Tuhan. Kita sama-sama mahu melihat hasilnya. Kita sama-sama mahu meyakini, mahu percaya. Kita sama-sama mahukan yang damai, sejahtera, tenang dari segi dunia akhirat, zahir batin itu. Inilah yang kami panggil dengan nama silaturahim. Istilah dihujungnya mungkin seumpama kita nantinya berihram beramai-ramai di Padang Arafah tanpa mengira warna kulit, status, warganegara, bangsa dan lain-lainnya. Jalinan yang tidak boleh diikat pegang dengan harta benda sekalipun. Maka jika kita sudah selaras dengan beberapa penjelasan tentang hubungan silaturahim itu, tidak ada yang susah atau mustahil dalam apapun perkara bagi Tuhan yang Maha Kun yang diserlahkan di dalam rahsia diri setiap orang itu.

Namun rahsia diri itu tidak akan terungkap, silaturahim itu tidak ada jika kita masih mempunyai an Nafs atau di dalam terma nafsu tercela yang bersifat ingkar, menolak, terlindung, tersekat, kufur dan lain-lain lagi itu. Maknanya kita bertemu di dalam kesombongan, keangkuhan, keraguan, kebakhilan dan seumpamanya. Jika berlaku sedemikian rupa, dasar pertalian di antara kita tidak akan kukuh. Lalu ‘emas sepuluh dan padi masak’ yang akan membuka saluran kepada istilah ‘menyambung’ itu tidak akan terbuka. Bila tidak terbuka maka hasilnya akan jadi sia-sia. Juga jika kita lalai, leka dalam hubungan dengan Tuhan dan manusia-manusia itu, termasuk juga dengan makhluk-makhluk lain itu, maka kita seolahnya berpaling dari silaturahim yang asalnya kita tekuni itu. Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim. Apakah kamu kita kamu sudah berkuasa (dengan apa sahaja profesion yang kamu bawa) dengan melakukan kerosakan di muka bumi ini dengan memutuskan silaturahim? Kita akan tuai apa sahaja yang kita semai. Buat baik dibalas baik. Buat buruk dibalas buruk. Tidak ada satu zarahpun kejahatan, kebaikan yang terlepas dari pembalasan, hitungan Tuhan. Kita merasa amat sedih, kesal sekali kerana bila sudah terputusnya ikatan itu, maka segala masalah akan kembali, mungkin dengan keadaan dan bentuk lain, tapi dasarnya sama iaitu seperti alam kenerakaan kepada zahir dan batin seseorang itu. Terhantuk lalu tengadah lagi. Asalnya mengikuti nasihat lalu berhasil. Namun setelah itu menolak kembali, lalu kemudian baru tahu makna peringatan atau amaran. Iman dan akal itu adalah juga alat-alat kepada kita dalam meniti perjalanan menujuNya. Jika tidak tercapai matlamat maka sebab itulah wujud alam neraka. Agar dapat dibersih, disucikan sebelum ke syurga akhirnya. Soalnya neraka...neraka...dan neraka lagi. Kejarlah syurga jauhilah neraka. Afala ta’qilun, afala tu’minun?



Perlu Singkirkan Apa, Kenapa Dan Sebagainya, Layan Dan Ikut Sahaja

Antara sebahagian hujah yang dikemukakan oleh rakan-rakan yang mengatakan mereka benar pada dasar tersebut dan mahu membimbing orang yang mendengar :

1. Perlu disingkirkan persoalan. Iaitu 5W1H where, what, when, which, who and how atau di dalam Bahasa Malaysianya di mana, apa, bila, yang mana, siapa dan bagaimana. Contohnya apalah istimewanya aku yang banyak berbuat dosa, jahat ini sehingga menerima anugerah, dipilih…dan kenapa tidak dipilih orang lain sahaja…dalam maksud menerima ketuhanan iaitu hakikat dan makrifat. Sebabnya kerana ada tugas. Ikut sahaja apa yang Allah perbuat, layan sahaja kerana sudah ketentuan. Nanti takut kita menolak qada dan qadar Allah. Dalam surah at Talaq atau masyhur dinamakan Ayat Seribu Dinar ada memberitahu agar jangan mempertikaikan perancangan Allah. Bila berkehendak apa juga jawapan, tanya kepada Allah sahaja, nescaya Allah akan beri jawapanNya.
 
2. Penghujung rasa itu tahu. Akal itu ada 2 iaitu di dalam dada dan di otak. Keterangan lain menyebutkan penghujung rasa itu tidak tahu. Agama itu nasihat. Agama itu ada 2 iaitu wahyu dan ciptaan. Semua keterangan bersangkutan di atas itu kerana Allah mahu jadikan hamba yang menurut perintah. Ramai orang keliru, blurr(kabur) kerana faktor ilmu dan ibadah yang tidak difahami. Makrifat itu kenal. Contoh seperti rasa masinnya garam. Seperti rasa manisnya gula. Seperti rasa masamnya asam. Sudah tahu rasa itukan bererti kenal. Iman itu tidak sama ertinya dengan yakin, memang hal berbeza.
 
3. Jika boleh melakukan rawatan, maka itu baru tingkatan permulaan karamah. Jangan terus sangkut di situ bahkan jalan terus kepadaNya. Kena hadkan limitkan masa pengubatan kerana sebagai contoh kebiasaannya beberapa jam itu diperuntukkan untuk ibadat kepada Allah, namun oleh kerana ramainya tamu pesakit yang diubati, maka langsung minima sekali masa yang tinggal untuk ibadat. Itulah yang dimaksudkan jangan lalai kepada Allah. Juga di dalam pengubatan kita boleh sedut power atau tenaga rakan-rakan yang lain bagi membantu kita.
 
Saya banyak berdiam sambil mendengar hujah beberapa rakan di suatu restoran masakan panas di sekitar Temerloh, Pahang Darul Makmur lebih kurang dari jam 2 hingga ke 4 pagi, selama lebih kurang 2 jam. Banyak sekali yang berlegar di otak dan hati saya berkenaan hal-hal yang bersangkutan yang di kupas di atas. Beberapa ilmu yang saya kupaskan di blog dan juga apa yang terlihat melalui cara saya bercakap serta semasa saya melakukan pengubatan sedikit sebanyak menjadi ukuran kepada beberapa rakan ini. Saya tidak kisah di kata ilmu saya masih dangkal mahupun lemahnya hubungan saya terhadap Allah, kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Tidak akan sesekali saya terjejas walau dipuji walau dikeji.

Saya juga dianjurkan agar bertaubat kepada Allah agar mudah-mudahan Allah akan bukakan RahmatNya kepada saya. Saya amat berterima kasih di atas ‘kepekaan’ beberapa rakan yang dapat melihat atau scan orang lain walau amat di anjur memecah rahsia diri sendiri dahulu sebelum scan orang lain.

Jawapan saya ringkas menjelang 4 pagi itu. Apakah mungkin kebenaran kenyataan-kenyataan di atas itu berlaku sebaliknya? Sudi tak kiranya dapat meneliti hujah saya di blog kerana baru petang tadi saya upload post yang ke 13 melibatkan sebahagian besar hal yang sedang dibincangkan?..kerana saya akui banyak yang perlu saya perkemaskan lagi. Setelah bersalam-salaman dan mengucapkan selamat secara ritual biasa, kami pun beredar.

Dan sejak dari tadi, saya makin berkobar-kobar mahu ber’kongsi’ Kebenaran dengan semua…

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen anda. Kami pasti akan menjawab tidak lama lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...