Guru

Sedikit Tentang Guru

Zaman kecil beliau memang penuh ujian, cabaran dan himpitan. Apa tidaknya beliau selalu kalah dengan ahli keluarga juga rakan-rakan sekolah yang lain dari segi akademik mahupun sukan. Pasti jika tubuh berisi maka diejek dan diperendahkan. Ya ramai sekali melihat orang dengan fizikalnya sahaja, itu telahan beliau dahulu. Tentu jika belajar tidak pandai maka dianggap tidak mempunyai kekuatan akal dan tidak cerdas. Ya bagaimana mahu belajar jika keadaan tidak memberangsangkan. Jiwa peka makanya senang jadi sedih lalu menangis. Tidak begitu jelas jika terdapat keanehan pada diri beliau namun beberapa yang bakal diterang di sini insyaAllah mengungkap gambarannya. Namun sejak berusia beberapa tahun beliau sudah mulai bertanyakan di mana dan siapa Tuhan.

Oleh kerana kawasan rumah terletak di antara kampung-kampung maka jiran-jiran juga agak berjauhan. Banyak pula sekatan untuk berkawan. Lalu banyak menyendiri, termenung sendiri. Bukan tidak berkawan namun secara tidak langsung terlatih tidak bersosial. Kerana bukan tidak yakin, tapi malu walau mahu. Dulu juga tidak boleh ekspresif, amat berbeza mungkin dengan sikap sekarang ini. Maka beliau suka mengguna ayat yang sering dikata oleh seorang guru beliau, itulah tempaan, itu ramuan. Memang benar sekali jalan setiap orang itu berbeza. Dulu tidak difahami namun sekarang sudah mengerti lagi faham. Sedih ada, lucu ada, tanpa perasaan juga ada. Emosi pelbagai. Sebagai contoh mengaji juga tidak pandai, kerana amat takut dengan guru yang mengajar. Dengan ayah cara mengajarnya lain, tidak juga seperti memaksa, namun tidak membebani. Kerana jiwa di dalam itu sensitif. Kerana itu maka amat sulit bagi beliau menghabiskan walau surah kecil hingga dewasa. Dan mungkin juga oleh sebab jiwa itu mencapai tunenya maka beberapa abang lain dapat menguasai dalam pengajian.

Bila terkenang lagi, beliau selalu sahaja minta dimatikan sahaja sewaktu tidur kepada Tuhan, walau sebelum sekolah rendah lagi. Tidur dalam keadaan bersedih, kerana tertekan, kerana mengharap, kerana…walau tidak siapa tahu, di saat itu. Sulit sekali untuk menuliskannya di dalam blog yang ringkas ini, namun sebagai jamuan akal dan hati dan juga mungkin jika bermanfaat maka dapat diambil pengajaran walau sedikit. Sudah lupa bila segalanya bermula, namun sebelum atau sejak saat itu beliau telah mulai terbuka pancainderanya dan mula menerima banyak pengajaran dalam semua segi di alam nyata mahupun dari alam ghaib. Banyak sekali kisahnya merangkumi keterbukaan alam-alam itu. Namun tidak wajar diperjelaskan kepada tatapan umum di sini, dan secara berhadapan sahaja, kerana kefahaman orang itu banyak lapis. Kerana dibimbangi memudaratkan dan menimbulkan fitnah.
Guru Akademi Rahsia Agung

Hal-hal sebegitu sedikit sebanyak memberi tekanan yang berat kepada beliau. Apakah erti semua itu? Apakah rahsia disebalik semua itu? Beliau sejak dari kecil diberi target oleh keluarga terutama emak dan ayah supaya belajar tinggi walau sampai ke luar negara. Ya tentunya dalam jurusan kejuruteraan setelah melewati kolej dan sebelumnya sekolah berasrama penuh di Malaysia ini. Beliau tidak seperti abang sulungnya, seorang al hafiz, juga seorang profesor dalam bidang agama di sebuah universiti terkemuka di sini. Hanya beliau seorang sahaja di dalam keluarga yang tidak tamat membaca al Quran namun insyaAllah sekarang sudah boleh iqra al Kitab. Berdasarkan pengalaman-pengalaman tersebut, beliau amat takut, tertanya-tanya, keliru akan situasi yang mungkin tidak dari sumber yang benar atau sesat dan seumpamanya.

Lalu sejak kepulangan ke Malaysia, sebagaimana lazimnya seorang graduan lainnya, beliau mula bekerja dalam pelbagai bidang dari bidang pembinaan, sector perkilangan…kilang kertas, kilang sawit dan kilang bumbung. Namun tidak terjumpa oleh beliau apa yang dicari-cari selama ini untuk membuka rahsia terpendam. Berlaku suatu peristiwa pada umur 28 di mana beliau telah meninggalkan segalanya lalu pulang ke kampung. Mengurus sendiri perniagaan restoran sambal menekuni rawatan, urut dan berkaitan. Walau ditulis, walau diucap namun masih juga tidak mampu memberitahukan segalanya. Beliau faham jika mahu dunia maka dengan ilmu dunia, jika mahu akhirat maka dengan ilmu akhirat. Kalau boleh disekalikan maka bagus sekali. Mahu memperbaiki apa yang tidak tahu. Mahu menambah apa yang masih kurang jelas.

Maka sejurus merantau dalam dan luar Malaysia menekuni dunia profession mengikut sijil, beliau telah ditakdirkan dengan Kuasa dan KehendakNya untuk menyoroti jalan-jalan bagi melengkapi pertanyaan-pertanyaan selain yang diterima sendiri melalui alam batin. Jalan zahir juga mesti dilalui kerana sebab itu Tuhan dan RasulNya anjurkan menuntut ilmu. Tuntutlah ilmu sampai liang lahad. Tidak ada ruginya. Yang rugi jika tidak ada ilmu, tak ada kesedaran. Hati tidak diperdalamkan. Akal tidak dioptimakan. Maka seluruh Malaysia dijalani bertemu dengan mana-mana guru yang boleh membimbing beliau. Hanya mahu tahu dan mahu sahaja dalam menjalani pembawakan sebenar kehidupan ini. Ke Indonesia juga. Lalu ke tanah Arab juga. Lalu dirumuskan dengan perjalanan terdahulu di Eropah. Sekarang ini juga, walau terdapat tawaran berhijrah dengan pendapatan yang lumayan juga berstatus, namun walau hujan emas di negara orang dan hujan batu di negara sendiri, namun mungkin lebih baik di negara sendiri.

InsyaAllah beliau telah mendapat bimbingan yang baik dari guru-guru nyata mahupun guru-guru ghaib. InsyaAllah tidak ada keraguan kerana semuanya jelas. Jika mahu tahu lanjut tentang pengajaran/bimbingan yang beliau perolehi, terutama dari alam ghaib, maka silalah datang belajar di Akademi Rahsia Agung, insyaAllah diperjelaskan.

Maka sekarang ini beliau masih bertekad menyampaikan sedikit sebanyak yang beliau tahu dan mahu...bermula dari isteri, anak-anak, ahli keluarga, sahabat, jiran berdekatan, masyarakat setempat bahkan ke seluruh negara dan dunia dengan IzinNya bagi manfaat bersama zahir dan batin, dunia dan akhirat.



Latarbelakang Keturunan

Ayah kepada Guru Akademi Rahsia Agung (GARA) adalah Haji Ibrahim, lahir sekitar 1913 di Temerloh, Pahang. Beliau amat disegani ramai. Beliau rapat dengan Tan Sri Yahya yang sewaktu itu Menteri Besar Pahang. Bergiat dalam balak, pertanian juga bisnes. Beliau amat bermasyarakat bahkan hingga memimpin. Hj Ibrahim semasa hayatnya menguasai sehingga 7 qiraat pembacaan Al Quran dan pernah menetap bertahun lamanya di Mekah. Beliau menjadi ketua kampung di sini bersama abangnya yang membuka kampung lain yang juga berdekatan ie kampung Bukit Tingkat. Sewaktu penjajahan Jepun dahulu, beliau terlibat dalam Angkatan Pemuda Insaf (API) selaku Pegawai Pemerintah Kanan berpusat di Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang. Menentang Malayan Union. Bukan kumpulan Bintang Tiga. Gerakannya hanya untuk membebaskan tanahair dari penjajahan. Dan sudah tentu untuk agama, bangsa juga diri. Namun di cop seperti itu. Dikatakan seperti itu walau tidak seperti itu. Jika benar Bintang Tiga maka sekumpulan dengan Shamsiah Faqeh, tapi beliau tidak. Beliau dikatakan se era menggiat bersama Burhanudin al Helmy, aliran keilmuan kaum muda dan tasawuf tarikat . Sesungguhnya, pembentukan jiwa Islam semenjak kecil telah memupuk akhlak mulia serta semangat keIslaman yang tinggi ketika beliau dewasa dan sebagai benteng pertahanan yang kental daripada pelbagai serangan spiritual dan fizikal misalnya terpaksa menjalani tahanan ISA semasa berjuang di arena politik tanah air pra-merdeka. Namun nama beliau tidak terpahat sejarah. Beberapa hal tentang ini masih sedang ditelitikan.

Hj Ibrahim bin Haji Abdul Rahman

Mungkin sudah maklum dengan hal ehwal atau lingkungan pembelajaran wajib zaman dahulu, hal ehwal dunia pertahanan diri memang sudah jadi lumrah. Beliau pernah dicangkul kepalanya oleh tentera Jepun, ditetak dengan pedang namun tidak terjejas. Pokok pinang pernah dicabutnya begitu sahaja di kampung berdekatan sini. Tamparnya sahaja mematikan pohon besar. Tamparnya kepada orang jahat sampai demam kesakitan, dan hanya dapat dipulihkan bila hanya ditawarkan beliau. Saat 4 abang saya berguru dengan beliau di waktu remaja, walau beliau dalam kedudukan duduk bersila, tak dapat ditembusi malah bergelimpangan kesemua abang. Saatnya keras, pernah ada abang yang ditendang hingga terhumban pecah dinding rumah kerana tidak solat subuh. Sergah, ancam, kata-kata keras tajamnya kepada sekumpulan penjahat, penyamun saat melewati di kampung Paya Keladan sahaja sudah amat menggentarkan. Ayah kata, kamu balik asah dahulu parang, pedang, senjata di tangan kamu itu. Hingga mereka pulang ke tempat masing-masing tanpa berani muncul kembali. Jadi mungkin sahaja ilmu begitu perlu suatu masa dahulu kerana pelbagai faktor. Bertemu dengan orang-orang jahiliah lagi brutal maka pasti Tuhan menjaga dari niat jahat itu. Mencabut pokok dengan tangan kerana mungkin aja tidak ada bantuan ahli memotong pokok yang ramai dengan menggunakan chain saw atau gergaji rantai sepertimana ada pada masa ini. Itu mungkin hanya kisah-kisah, terlihat kesaktian namun hal-hal sebegitu tidak pernah keluar dari mulutnya melainkan kedengaran dari mulut orang-orang lain sahaja yang mungkin kebetulan terlihat. Buah gemetar, bergoncang seluruh badannya pernah saya lihat. Saya dulu pernah meminta diajarkan ilmu sebegitu dari beliau, namun dengan mudah dijawabnya, oh kamu tak perlu cari ilmu-ilmu sebegini. Lanjutkan sahaja bidang persekolahan kamu hingga merentas dunia sejauhnya. Dengan beliau saya hanya berkesempatan memperdalam 7 ayat dan ilmu Raja anjing, ar Raqim. Ya sekarang saya fahami langit juga 7 dan bumi.

Hj Ibrahim bersifat kepimpinan, tegas, tidak suka berkelahi, ramai kawan dan sehingga zaman akhir hayatnya beliau masih selaku Imam di Masjid Songsang. Hj Ibrahim telah diasuh oleh beberapa guru termasuk ayahnya Hj Abdul Rahman aka Tuan Guru Che Man. Beliau sendiri amat jarang mengisahkan pengalaman hidupnya kecuali beberapa hal yang tertentu memang kerap disampaikan, terutamanya tentang solat. Beliau juga selalu kata yang hantu itu tiada. Bila teringat kembali ayat tersebut yang mempunyai makna yang dalam, saya amatlah bersedih sekali kerana banyak sekali tidak dapat mempelajari hal lainnya dari beliau sewaktu hayatnya. Saya hanya benar pernah mempelajari Al Fatihah dengan beliau kerana ketidakmampuan akal dan hati pada masa itu? Ada mungkin sepotong dua ayat lain yang diijazahkan kepada saya namun setelah benar-benar terbukti kepada saya sendiri, barulah saya terpanggil untuk mencuba sendiri menggali khazanah-khazanah lainnya baik di alam nyata ataupun tidak.

Datuk kepada GARA adalah Hj Abdul Rahman, juga bergelar Tuan Guru Hj Abdul Rahman atau Tuan Guru Che Man, seorang guru pondok, dulunya di Pondok Lubuk Kawah berdekatan sini juga. Tunggul pejabat API masih terlihat dahulu di Lubuk Kawah. Asalnya diseberang sungai ie kampung Berhala Gantang. Beliau mungkin antara pengasas API, ini masih diselidik sejarahnya. Burhanudin al Helmi dan ayah antara penggiatnya. Tok disegani British juga kerajaan di masa itu. Beliau lahir sekitar pertengahan 1800an di Pagar Ruyung, Sumatera, Indonesia. Ini juga sedang ditelitikan kerana menurut dari banyak kisah, beliau dari Kelantan. Sayang sekali kerana tidak ada jodoh pertemuan kerana beliau telah meninggal dunia lama sebelum GARA dilahirkan.

Tuan Guru Hj Abdul Rahman

Ada beberapa kisahnya yang mahsyur sewaktu beliau mengajar di kampong Lubuk Kawah dahulu. Muridnya ramai dalam pelbagai bidang. Antara muridnya yang terkenal adalah Tuan Tulis di Negeri Sembilan itu. Dan ada banyak tentang pengajian Tuan Tulis ini di internet dan terpahat dalam sejarah perguruannya. Kisahnya tatkala mengambil wuduk seringkali beliau terjun sahaja ke dalam sungai Pahang itu sambil memegang kopiah agar tidak dibasahi air. Dan bila selesai semuanya, dipakainya kembali kopiah tersebut. Jadi bukan kopiah tidak basah kisahnya. Sebenarnya menjadi perbualan segelintir tentang kisah anehnya. Kisah beliau menjala ikan di sungai Pahang. Anehnya air di segenap tempat di sungai itu hanya pada paras buku lali hingga ke lutut beliau. Ada kisah perahu karam, namun beliau telah didapati sudah berada diseberang sungai ie kampong Berhala Gantang. Dan beliau pernah dilihat menyemberang sungai Pahang, berjalan di atas air, itu yang dikisahkan. Pengajarannya yang dilihat saya adalah mungkin itu inti ilmu nafas. Pada orang zaman dahulu hingga mampu terbang. Memang pelik. Namun kisah-kisah sebegini banyak terpahat pada sejarah orang Melayu yang berunsur kebatinan, kesufian, yang bertasawuf bertarikat atau berspiritual. Dan sememangnya semua ilmu itu dihujungnya hanya Tuhan. Di zaman perang dahulu, saat mahu selamat kepergian ke manapun, asal sahaja 6-8 orang mendampingi beliau, maka terjamin terpelihara dari apa jua serangan hingga tak memudaratkan. Dan beberapa kisah lagi sedang ditelitikan.

Dan yang terjadi hanyalah secara sedar tidak sedar kepada ayah juga datuk? Mungkin perlu dihayati kisah orang di gunung, dihutan dan disungai saat mencari diri. Hingga tak perlu makan, tak perlu minum tak perlu tidur, tak perlu apapun kecuali hanya bersama Tuhan yang maha Kuasa. Mungkin bukan dimahu begitu, cuma mengikut Kehendak dan Kekuasaan Tuhan. Tapi bagaimana pula halnya keadaan mereka yang sudah keluar dari gunung, keluar dari hutan, keluar dari sungai? Dan memang dasarnya sama, tidak pernah mungkin diceritakan dari mulutnya bahkan meluas sendiri dari mulut orang ramai. Antara lain tersebut juga hal perkampungan di Kampung Bukit Tingkat dan Kampung Lubuk Kawah juga di Kampung Paya Keladan yang sudah tersedia maklum kepada masyarakat dahulu bahawa memang tempat-tempat tersebut adalah keras sekali dari segi pengaruh kewujudan makhluk ghaibnya dan tidak akan dapat didiami sekiranya tidak dengan ikhtiar mungkin dari Hj Abdul Rahman sendiri, dengan izin Tuhan. 

Beberapa hal lainnya tak dapat dikisahkan di sini. Melainkan dengan berhadapan sahaja. Pokoknya jika ilmu itu terbukti, apakah kita mahu belajar membuktikan. Sudahkah tahu rahsia pakej apa pada diri yang boleh mencapai akan sesuatu hal yang luar biasa itu, lalu dapat dimanfaatkan pada arah yang menguntungkan diri, orang-orang lain, bahkan mahkluk-makhluk lain seisi alam semesta ini? Kerana jasad itu umumnya biasa, namun tidak ditemukan di dalam jasad itu yang luar biasa. Antara rahsia diri.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen anda. Kami pasti akan menjawab tidak lama lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...